Perseorangan kedua Thailand itu sentiasa menjadi perhatian ramai tidak kira sama ada di dalam atau luar gelanggang kerana kecantikan semula jadi yang dimilikinya.

Dia yang begitu aktif dalam laman Instagram sentiasa memuat naik gambar-gambar terkini tidak kira sama ada sedang bercuti bersama keluarga atau sedang menyertai mana-mana kejohanan untuk tatapan peminat.

Pemain berusia 27 tahun kelahiran Phuket itu menjadikan sukan badminton sebagai kariernya kerana dorongan keluarga yang mahu dia mendapatkan kemudahan perubatan lebih baik pada masa akan datang.

Dia yang dikenali dengan panggilan Nat oleh ahli keluarga dan Angel dalam kalangan pemberita kerana kecantikannya gembira dengan karier yang membolehkannya mengembara ke seluruh dunia namun mengakui dia sangat gembira untuk kembali ke Korea Selatan kerana minatnya terhadap drama-drama Korea.

“Walaupun saya suka ke Korea tetapi saya sentiasa mengimpikan untuk ke air terjun Niagara dan saya percaya, suatu hari nanti saya akan ke sana kerana saya suka dengan pemandangannya,” katanya.

Seperti ahli sukan lain, Nitchaon juga menggemari Liga Perdana Inggeris dan merupakan penyokong Manchester United.

Bagaimanapun, dia pernah menerima kecaman daripada peminat yang tidak boleh menerima bahawa dia adalah penyokong The Red Devils dan ada juga yang memberikan sokongan kerana memiliki minat yang sama.

“Ada satu ketika, seorang peminat secara berseloroh untuk tidak lagi menyokong saya kerana saya adalah peminat Manchester Uni­ted dan saya tergelak ketika membaca komen itu.

“Bagi saya, komen-komen yang diberikan ini adalah tanda sokongan mereka dan saya gembira untuk berinteraksi dengan mereka,” katanya yang mula berhijrah ke Bangkok dari Phuket untuk menyertai skuad kebangsaan Thailand pada usia 15 tahun.

Dia juga mempunyai impian untuk bermain badminton bersama Jirayu ‘James Ji’ Tangsrisuk, pelakon berdarah kacukan Thailand-China yang cukup popular di negara Gajah Putih itu.

“Saya sangat meminatinya dan kalau boleh, saya mahu beraksi bersamanya di dalam gelanggang,” katanya sambil berseloroh dalam satu temubual bersama media Thailand.

Seperti atlet lain, Nitchaon juga memiliki teman istimewa dalam hidupnya iaitu Suppanyu Avisingsanon yang juga pemain skuad kebangsaan Thailand namun tidak banyak kisah mengenai percintaan mereka dipaparkan di dalam media.