Bagaimanapun kata Maloney, kedudukan akhir bek kiri Perak itu hanya akan diketahui selepas menerima laporan daripada doktor pasukan.

“Nazirul tidak dapat menjalani latihan hari ini kerana cedera di bahu. Saya tidak fikir dia boleh menyertai pasukan berdasarkan kecederaan yang dialaminya. Kami masih menunggu laporan daripada doktor pasukan.

“Kami belum membuat keputusan untuk mencari pemain lain menggantikan Nazirul namun jika dia terpaksa dikeluarkan kami akan melakukannya secepat mungkin.

“Selain itu, Rizal (Mohd. Ghazali) dan Khairul Helmi (Johari) menjalani latihan di gimnasium kerana mengalami hentakan ketika perlawanan pada Sabtu lalu. Ronny (Harun) pula tiba hari ini.

“Saya tidak mahu melakukan latihan berat kerana sesete­ngah pemain baru habis ber­aksi dalam Piala FA minggu lalu.

“Kami cuma menjalani latihan seperti biasa dan pasukan perubatan akan memantau mereka jika ada yang mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Maloney memberitahu, dia tidak bimbang walaupun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United lewat menyertai pasukan kerana perlu beraksi dalam kempen Piala AFC.

Sementara itu, Muhammad Akram Mahinan teruja untuk beraksi bersama skuad kebangsaan buat kali kedua selepas kali pertama dipanggil pada Sukan SEA 2015.

“Sebelum ini saya bermain di JDT tapi disebabkan jarang beraksi kerana persaingan yang sengit saya bermain bersama JDT II (Johor Darul Ta’zim II).

“Perhatian yang diberi kepada saya mungkin kurang kerana beraksi di Liga Perdana musim lalu berbanding bermain dengan Kedah tahun ini,” katanya.