Kekalahan mengejut pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 yang juga pilihan kelima, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-23, 21-14, 15-21 kepada pasangan China, He Jiting-Du Yue dalam beregu campuran melengkapkan hari malang Malaysia di Wuhan.

Bagaimanapun, penarikan diri bekas juara dunia yang juga pilihan keempat, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia membolehkan Aaron-Wooi Yik menarik nafas lega.

Beregu No. 15 dunia itu kini akan berdepan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho yang terdahulu mengejutkan pilihan kelapan dari China, Liu Cheng-Zhang Nan 21-13, 12-21, 21-12.

Dalam pusingan pertama semalam, Aaron-Wooi Yik bermandi peluh ketika mengetepikan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-15, 19-21, 21-17.

Sementara itu, tujuh wakil negara yang beraksi di pusingan kedua hari ini tumbang seorang demi seorang.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memberi tentangan sengit kepada pilihan kedua, Li Junhui-Liu Yuchen dari China sebelum tewas 23-21, 22-24, 14-21 manakala beregu bebas, Mohamad Arif Ab. Latif-Nur Mohd. Azriyn Ayub tunduk kepada pilihan ketiga dari Jepun Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 16-21, 18-21.

Dalam perseorangan wanita, Soniia Cheah gagal menyekat pilihan kedua dari Jepun, Nozomi Okuhara apabila tewas 17-21, 21-12, 21-15.

Saingan beregu wanita pula menyaksikan gandingan Anna Cheong Ching Yik-Lim Chiew Sien tewas kepada beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 15-21, 18-21 manakala Vivian Hoo-Yap Cheng Wen kalah mudah 12-21, 8-21 kepada Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan.

Melengkapkan hari malang Malaysia adalah bekas perseorangan lelaki kebangsaan, Chong Wei Feng gagal mencabar juara Olimpik, Cheng Long apabila tunduk 16-21, 7-21. - UTUSAN ONLINE