Pada ketika cabaran pemain Malaysia yang lain berakhir awal, Chong Wei, 35, pemain paling tua di atas gelanggang berjaya melepasi halangan de­ngan mudah apabila me­nyingkirkan pencabar dari Hong Kong, Hu Yun 21-8, 21-6 hanya dalam masa 27 minit.

Kemenangan itu bakal me­nemukan Chong Wei dengan pemain muda Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, sekali gus meletakkannya di landasan terbaik untuk memburu gelaran ke-12 selepas muncul juara pada 2016, 2014, 2013, 2012, 2011, 2010, 2009, 2008, 2006, 2005 dan 2004.

Biarpun dianggap pilihan untuk mengalahkan Hyeok Jin, 22, dan mengungguli kejohanan Siri Super Premier bernilai AS$600,000 (RM2.66 juta) itu, namun Chong Wei menegaskan, dia tidak mahu terlalu ‘ghairah’ memikirkan tentang kejuaraan hingga memandang rendah keupayaan lawan.

Malah, dia tidak pernah bertemu Hyeok Jin, yang terdahulu mara selepas mengetepikan Brice Leverdez dari Perancis 21-13, 21-10.

“Tentang lawan saya di suku akhir, saya tidak boleh memandang rendah keupayaan pemain Korea Selatan itu...lagi pun ini adalah pertemuan pertama kami,” kata pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu kepada pemberita.

Ketika ditanya mengenai pemain-pemain pelapis negara, Chong Wei melihat kemahuan mereka belum cukup untuk meningkatkan prestasi permainan.

“Jurulatih telah bekerja keras, kini bergantung kepada pemain itu sendiri kerana mereka yang berada dalam ge­langgang. Peluang juga sudah diberi.

“Masa saya masuk pasukan kebangsaan selepas tingkatan lima, terdapat kira-kira 15 hingga 18 pemain senior dalam pasukan, jadi saya kena be­kerja keras untuk menang ke atas mereka dan mendapat peluang beraksi dalam kejohanan antarabangsa,” katanya.

Selepas cabaran dua pasangan terbaik Malaysia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liung berakhir seawal pusingan pertama semalam, hari ini giliran pemain-pemain muda negara pula mengecewakan ribuan penyokong tempatan yang membanjiri Stadium Perpaduan.

Gandingan Ong Sin Yew-Teo Eee Yi gagal meneruskan kecemerlangan dalam beregu lelaki apabila tewas 12-21, 11-21 kepada pasangan China, Fu Haifeng-Zheng Siwei manakala Chooi Kah Ming-Low Juan Shen tumbang 6-21, 19-21 di tangan pilihan ketiga, Chai Biao-Hong Wei juga dari China.

Dalam perseorangan wanita, bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei terpaksa akur 14-21, 12-21 kepada Chen Yufei dari China dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean memberi tendangan sengit sebelum tumpas 17-21, 21-18, 23-25 ke atas pasangan dari negara tembok besar itu, Chen Qingchen-Jia Yifan.