Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai berkata menerusi MoU itu keempat-empat negara berkenaan akan mengadakan latihan dan pertandingan antara tujuh dan 14 hari bagi skuad pelbagai peringkat umur.

Menurutnya, ia akan membabitkan skuad kebangsaan bawah 15 tahun (B-15), B-17, B-19 dan pasukan pelapis negara.

“Semua negara ini akan mengadakan kem latihan bersama setiap empat tahun sekali secara bergilir pada tarikh yang dipersetujui bersama.

“Program pertukaran ini adalah untuk membangunkan sukan badminton terutama dalam kalangan pemain remaja di empat negara terlibat,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.

MoU itu ditandatangani Chin Chai bagi pihak BAM manakala Wijanarko Adi Mulya Oei mewakili Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia, N. Nigoh Chumnankul (Persatuan Badminton Thailand) dan Han Woo Goo (Persatuan Badminton Korea Selatan).

Chin Chai juga berkata keempat-empat negara akan bekerjasama dalam pertukaran pegawai teknikal, kemudahan kejurulatihan, latihan, pembangunan serta aspek sains sukan.

Beliau turut menjelas kem latihan bersama itu tidak akan menjejaskan program latihan remaja BAM atau pertandingan remaja di negara ini.

“Ada banyak kejohanan di peringkat senior berbanding pertandingan untuk remaja,” katanya. -BERNAMA