Berdasarkan rekod pertemuan mereka, Momota hanya tewas sekali kepada Yuqi dalam empat pertemuan terakhir iaitu dalam Final Jelajah Dunia Guangzhou, tahun lalu dan berazam untuk menebus semula kekecewaan itu.

Bagaimanapun, pertemuan tersebut hanya boleh direalisasikan sekiranya kedua-dua pemain itu melangkah ke final.

Ketua jurulatih badminton Jepun, Park Joo Bong berkata, Yuqi merupakan seteru baharu Momota dan pemain China itu menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan terakhir, musim lalu.

Katanya, kecemerlangan yang ditampilkan bintang baharu China itu jelas memberikan motivasi baharu kepada Momota dan dia tidak mahu kecewa sekali lagi kepada pemain sama.

“Sebelum aksi Final Jelajah Dunia, Momota tewas kepada Son Wan Ho dalam separuh akhir Terbuka Hong Kong dan dia bersemangat mengulangi semula pertemuan dengan pemain itu.

“Sekarang dia sudah ada seteru baharu dan dia adalah pemain yang tidak suka kalah dua kali kepada pemain sama. Kekalahan sebelum ini menjadi motivasi kepadanya untuk kejohanan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Momota yang merangkul tujuh kejuaraan, tahun lalu, akan memulakan kempen Malaysia Masters dengan pertemuan menentang rakan senegaranya, Kenta Nishimoto, manakala, Yuqi akan berdepan Brice Leverdez, esok.

Antara pemain lain yang akan turut beraksi dalam edisi kali ini ialah juara bertahan dari Denmark, Viktor Axelsen; pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long dan juara Terbuka China 2018, Anthony Ginting.