MOHAMAD NORZA ZAKARIA
MOHAMAD NORZA ZAKARIA

Walaupun Daren berjaya menampilkan aksi cemerlang dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini termasuk layak ke Kejohanan Dunia di Nanjing selain berada di kedudukan ranking lebih baik, BAM tetap berkeyakinan dengan barisan pemain sedia ada.

Pemilihan Mohd. Arif menyaksikan pasangan Teo Ee Yi iaitu Ong Yew Sin tidak tersenarai dalam skuad negara dalam aksi di Bangkok.

Seperti biasa, Datuk Lee Chong Wei akan mengetuai cabaran negara di Bangkok bersama Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao.

Goh V Shem- Tan Wee Kiong akan menggalas cabaran beregu lelaki bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan Mohd. Arif dibuat berdasarkan kepada prestasi semasa selain penilaian jurulatih dan kehadirannya mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada pasukan semasa aksi sebenar pada 20-27 Mei ini.

Katanya, keputusan untuk memisahkan Ee Yi dan Yew Sin adalah bersifat sementara dan mereka akan kembali bergandingan untuk Kejohanan Dunia di Nanjing pada 30 Julai hingga 5 Ogos ini.

“Pemilihan pemain ini dibuat berdasarkan penilaian jurulatih dan prestasi semasa mereka selain ini adalah pasukan terbaik untuk menggalas cabaran ne­gara.

“Mohd. Arif dan Ee Yi mungkin akan digunakan sebagai pasangan bidan terjun seperti mana yang dilakukan pada 2014 yang menyaksikan V Shem dan Wee Kiong bergandingan buat pertama kali.

“Ee Yi dan Yew Sin hanya dipisahkan untuk Piala Thomas sahaja dan mereka akan kembali bersama untuk Kejohanan Dunia,” katanya selepas Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan BAM di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, di sini hari ini.