Katanya, Misbun memiliki kredibiliti untuk melahirkan barisan pemain berkualiti selain memiliki idea yang bersesuaian untuk menaikkan semula skuad kebangsaan.

Dia juga mengakui, ini juga dapat membantu memberikan suntikan semangat kepada Datuk Lee Chong Wei bagi memburu kejuaraan dunia pertamanya di Glasgow, Ogos ini.

“Tujuan awal Misbun masuk adalah kerana prestasi perseora­ngan lelaki sangat kurang ketika ini dan saya percaya kehadirannya boleh memperbaiki keadaan ini.

“Saya juga melihat Misbun memiliki kebolehan untuk menghasilkan pemain-pemain yang ada keputusan baik seperti Chong Wei, Roslin (Hashim) dan Hafiz (Hashim) sebelum ini.

“Kehadiran semula Misbun ini dipercayai mampu memberikan suntikan idea baharu kepada Chong Wei untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia yang sememang­nya menjadi harapan semua masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini.

Misbun merupakan individu yang bertanggungjawab menjadikan Datuk Lee Chong Wei sebagai jaguh dunia dan memenangi pi­ngat perak pertamanya dalam Sukan Olimpik di Beijing pada 2008.

Akibat perselisihan pendapat yang berlaku sebelum ini, Misbun meninggalkan BAM pada 2011 selepas sembilan tahun berkhidmat bersama badan induk itu sejak 2002.

Sementara itu, Hendrawan turut mengingatkan pemain agar mempersiapkan mental mereka untuk menghadapi sistem latihan yang bakal disediakan Misbun.

“Saya rasa mereka semua tahu, Misbun menyediakan latihan yang sangat keras selain dia seorang yang sangat tegas.

“Jadi, saya berharap pemain bersedia sebaik mungkin untuk bekerjasama dengan Misbun,” katanya.