Biarpun belum menjenguk pemain itu, Misbun berkata, beliau tetap berhubung dengan Chong Wei melalui telefon bagi mengetahui perkembangan pemain itu.

“Kita faham, kalau dia jumpa saya...mungkin nanti keadaan bertukar menjadi emosi. Saya tak nak, kalau sudah beremosi, biasanya dia akan terharu dan lebih ‘down’. Jadi biarkan dia, saya mahu beri beliau ruang.

“Biasanya saya tengok Chong Wei ini, kalau dia betul-betul sudah sihat, dia lebih terbuka dan mudah didekati,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Akademi Badminton Malaysia (BAM) di sini hari ini.

Misbun merupakan individu penting dalam karier badminton Chong Wei sebelum menjadi jaguh perseorangan negara.

Misbun adalah jurulatih yang mengesan bakat pemain dari Pulau Pinang itu ketika berusia 17 tahun, sebelum dilentur sehingga bergelar pemain nombor satu dunia.

Justeru itu, mustahil beliau menjadi orang yang terakhir mengetahui tentang keadaan kesihatan Chong Wei yang mengidap kanser hidung tahap awal itu.

“Saya harap walau macam mana pun, sama ada dia mahu main (kembali ke gelanggang) atau tidak, saya harap dia cepat sembuh,” katanya. - BERNAMA