Legenda badminton negara itu berkata, skuad badminton negara tidak memiliki barisan pemain sehebat negara-negara lain se­perti China namun masih berpeluang melayakkan diri ke pusingan a­khir Piala Thomas di Bangkok.

Katanya, Malaysia memiliki barisan pemain muda yang kurang berpengalaman tetapi mengakui tiada sebarang masalah untuk membentuk sebuah pasukan de­ngan strategi khusus untuk berhadapan cabaran itu.

“Buat masa sekarang, berat untuk kita menamatkan persaingan dalam kelompok empat pasukan terbaik tetapi saya akui pelang untuk kita layak (ke Piala Thomas) itu ada.

“Piala Thomas bukan sesuatu yang mudah, ada pemain yang takut... ada yang belum letak nama lagi sudah berada dalam tekanan.

“Sekarang ini saya masih belum ada senarai nama yang formal, saya hanya akan serahkan senarai nama kepada presiden untuk di­bincangkan sebelum diputuskan kemudian dan saya akan siapkan pasukan ini sebaik mungkin kerana ini adalah tugas saya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Sementara itu, Misbun tidak menolak kemungkinan akan menggunakan khidmat Datuk Lee Chong Wei sebagai mentor bagi membantu meningkatkan keyakinan pemain-pemain muda negara.

“Chong Wei akan menjadi mentor kepada pemain-pemain lain. Dia merupakan seorang pemain yang berkaliber dan kejayaannya dalam (Siri Super) Terbuka Hong Kong membuktikan dia masih mempunyai keazaman untuk menang,” katanya.

Malaysia kini menghuni tempat ketujuh dunia di hadapan Indonesia, India dan Hong Kong dalam senarai ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Seandainya Indonesia, India dan Hong Kong menamatkan persaingan dalam kelompok empat teratas di Alor Setar, maka Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk Bangkok Mei depan.