Keputusan pengguguran itu dibuat selepas pemain berusia 24 tahun itu disahkan mengalami kecederaan lutut kanan selepas menyertai Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini dua minggu lalu.

Meskipun kecederaan dialami pasangan Chow Mei Kuan itu tidak begitu serius dan tidak memerlukan pembedahan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enggan mengambil risiko menurunkan pemain itu dalam aksi kelayakan Piala Uber di Kedah yang akan bermula minggu hadapan.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Wong Pei Tty mengesahkan perkara itu dan memberitahu Meng Yean perlu menjalani proses pemulihan antara empat ke enam minggu dan tempatnya akan digantikan oleh Tee Jing yi.

Katanya, dia memang sangat kecewa dengan perkara itu kerana Meng Yean-Mei Kuan merupakan pasangan yang sedang menunjukkan peningkatan positif dan mampu melakukan sesuatu bagi membantu pasukan di Alor Setar.

“Memang ada perubahan kecil dalam pasukan ini, Meng Yean terpaksa digugurkan selepas disahkan mengalami kecederaan lutut kanan tetapi bukan sesuatu yang serius sehingga memerlukan pembedahan.

“Kalau diikutkan, memang saya sangat kecewa tetapi saya perlu menerima perkara ini dari sudut positif.

“Saya juga berharap Meng Yean dapat pulih sepenuhnya menjelang Mei ini (untuk pusingan akhir Piala Uber di Bangkok),” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Bagi aksi di Alor Setar, Soniia Cheah diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran negara bersama Goh Jin Wei, S. Kisona dan Lim Yin Fun dalam acara perseorangan wanita.

Bagi aksi beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei akan mengetuai cabaran bersama Yap Chen Wen-Goh Yea Ching dan Mei Kuan yang berkemungkinan besar akan digandingkan bersama Jing Yi.

Pei Tty bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada dia akan menggunakan khidmat gandingan bidan terjun dengan memecahkan pasangan sedia ada untuk digandingkan bersama pemain lain.

“Saya tidak boleh dedahkan strategi permain kami, itu adalah rahsia,” katanya.