Choong Hann, yang memulakan tugasnya selaku Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini berkata tiada pihak yang meragui kemampuan Chong Wei untuk melayakkan diri ke Olimpik berdasarkan situasi pemenang tiga pingat perak Olimpik pernah melakukannya sebelum ini.

Dalam sidang akhbar khas minggu lalu, Chong Wei, 36, menyatakan hasratnya untuk beraksi dalam Olimpik setelah mengesahkan dia kini bebas daripada kanser hidung yang dihidapinya.

Namun bekas pemain No. 1 dunia itu tetap perlu menjalani pemeriksaan susulan tiga bulan sekali di Taiwan.

Chong Wei menjangkakan All England 2019 pada Mac depan akan menjadi kejohanan pertamanya selepas pulih daripada penyakit itu, namun perlu menunggu lampu hijau daripada doktor yang merawatnya untuk kembali ke gelanggang.

“Bercakap tentang masa, saya tidak fikir itu satu masalah bagi Chong Wei kerana kami tahu kemampuannya untuk melayakkan diri (ke Olimpik), mengumpul mata dan memenangi perlawanan.

“Ini bukan tentang masa, kami pernah lihat dia bangkit. Dia pernah buktikan semua ramalan pengkritiknya salah, apabila dia bangkit dengan lebih kuat.

“Jadi, mengapa kita tidak akan melihat kebangkitannya sekali lagi?” ujar Choong Hann yang pernah memenangi pingat perak Kejohanan Dunia.

Choong Hann sebelum itu memulakan tugasnya selaku Pengarah Kejurulatihan BAM dengan bertemu ketua jurulatih perseorangan lelaki Datuk Misbun Sidek dan perseorangan wanita, Tey Seu Bock di Arena Universiti Malaya (UM) seawal pukul 6 pagi.

Selain Misbun dan Seu Bock, dia turut akan memantau Paulus Firman selaku ke­tua jurulatih beregu lelaki, Rosman Razak (beregu wanita) dan Pang Cheh Chang (beregu campuran) selain pengendali lain di bawah mereka.