Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berkata Malaysia yang diundi di dalam Kumpulan 1C bersama Jepun dan England mempunyai peluang cerah untuk menjadi juara buat kali pertama.

Katanya, selepas tamat Sukan Olimpik Rio 2016, semua pasukan kini dalam fasa membentuk semula pasukan mereka sekali gus menjadikan persa­ingan kali ini lebih terbuka berbanding dua tahun lalu.

“Untuk kali pertama saya berasakan kita ada peluang yang cerah untuk menang sebab kita memiliki wakil yang kuat dalam perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran.

“Malah, beregu wanita kita juga menunjukkan peningkatan cuma kita perlu melihat bagaimana pemain muda perseorangan wanita Goh Jin Wei beraksi sebab tekanan begitu tinggi ke atasnya.

“Memang saya akui, China masih dilihat sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara tetapi mereka juga sedang dalam fasa membangunkan semula pasukan dan keadaan mereka tidak seperti empat atau enam tahun lalu, jadi boleh saya katakan peluang untuk Malaysia (menjadi juara) itu ada,” kata­nya selepas majlis undian Piala Sudirman di sini hari ini.

Juara 10 kali China diletakkan sebagai pilihan utama di dalam Kumpulan 1A bersama Thailand dan Hong Kong manakala juara Piala Thomas 2016, Denmark yang juga pilihan kedua berada di dalam Kumpulan 1D bersama Indonesia dan India.

Sementara itu, legenda badminton Denmark itu percaya, kunci kejayaan setiap pasukan yang bersaing dalam edisi kali ini terletak di tangan beregu lelaki masing-masing.

Malaysia akan mempertaruhkan pasangan No. 2 dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bagi acara itu dalam usaha memenangi kejohanan berpasukan campuran itu untuk kali pertama sejak diper­kenalkan pada 1989.

“Berdasarkan senarai enam pasukan pilihan, lima daripada mereka memiliki beregu lelaki terbaik dunia, hanya Korea Selatan hadir dengan pasangan baharu.

“Sudah pasti perlawanan ini akan menjadi sengit sekiranya berlarutan hingga ke perlawanan penentuan,” katanya.