Mat Sport
Mat Sport

Kejayaan itu juga menyaksikan jaguh No.1 negara itu berjaya mencipta rekod tersendiri dengan menjadi satu-satunya pemain yang berjaya merangkul 46 kejuaraan Siri Super sepanjang kariernya dan atas dasar itu Chong Wei dikenali sebagai Raja Siri Super.

Mat melihat kejayaan Chong Wei di Hong Kong itu merupakan sesuatu yang sangat diperlukan terutama selepas dia mengharungi pelbagai kesukaran selama lebih lapan bulan, termasuk ter­singkir daripada Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow seawal pusingan pertama kepada pemain bukan pilihan dari Perancis, Brice Leverdez selain kecewa dalam beberapa siri kejohanan utama selepas itu.

Ketika pemenang tiga pi­ngat perak Sukan Olimpik itu berdepan kesukaran, Mat ada dengar sesetengah pihak mula mempertikaikan kemam­puan Chong Wei dan ada juga yang menyarankannya untuk menggantung raket kerana menyifatkan dia sudah tidak boleh diharapkan atas sebab semakin berusia.

Perkara itu membuatkan Mat rasa terkilan, seolah-olah pengorbanannya selama ini seperti sudah tidak bermakna, seperti Chong Wei tidak pernah menyumbang apa-apa kepada Malaysia tetapi selepas dia menang di Hong Kong, lain pula ceritanya.

Apa yang Mat dapat lihat di sini ialah, pemain berusia 35 tahun itu masih mempu­nyai keazaman untuk menjadi juara selain tidak peduli de­ngan kritikan yang dihamburkan kepadanya kerana Chong Wei meletakkan kepentingan negara sebagai keutamannya.

Chong Wei juga pernah berkata: “Saya akan terus bermain selagi tiada mana-mana pemain negara yang mampu mengalahkan saya.” Mesej ini cukup jelas betapa kita tiada pemain setanding Chong Wei.

Bagi Mat, pemain-pemain lain termasuk pemain muda negara seharusnya berasa malu dengan Chong Wei ke­rana walaupun sudah berusia tetapi masih mampu mencapai kejayaan dan sentiasa bersemangat untuk menjadi juara dalam setiap kejohanan walaupun telah dilabelkan sebagai ‘orang tua tidak berguna’.

Dalam keadaan sekarang ini Mat akui sangat bimbang kerana pada tahun hadapan Malaysia bakal mengharungi pelbagai kejohanan besar termasuk Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Piala Thomas tanpa ada barisan pemain yang kuat selain Chong Wei.

Mat harap pemain-pemain negara dapat segera mempertingkatkan prestasi dan membuktikan kemampuan sebenar mereka bagi mencipta kejayaan gemilang buat Malaysia.