Biarpun merehatkan Datuk Lee Chong Wei dan beregu Goh V Sem-Tan Wee Kiong, skuad negara tidak menghadapi masalah untuk melengkapkan lima perlawanan hanya dalam masa satu jam, 46 minit.

Lee Zii Jia yang diberi peluang menggalas cabaran perseorangan pertama melaksanakan tugasnya dengan baik apabila menumpaskan Youcef Sabri Medel 21-6, 21-13.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin menggandakan kedudukan 2-0 selepas menundukkan Mohamed Abderrahime Belarbi 21-7, 21-9 dalam masa 27 minit.

Leong Jun Hao yang beraksi di pentas Piala Thomas buat kali pertama mengesahkan kemenangan Malaysia dengan mengalahkan Adel Hamek 21-13, 21-8.

Dalam saingan beregu, Malaysia turut mencuba pasangan serpihan, Mohd. Ariff Abdul Latif-Teo Ee Yi yang mudah menumpaskan Koceila Mammeri-Youcef Sabri Medel 21-12, 21-10.

Beregu muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melengkapkan kemenangan besar 5-0 Malaysia dengan menang 21-11, 21-15 ke atas Mohamed Abderrahime Belarbi-Adel Hamek.

“Ini adalah perlawanan pertama saya dalam Piala Thomas, ia memberi satu pendedahan yang baik dan meningkatkan keyakinan saya.

“Saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan hari ini, walaupun kita tahu Algeria bukanlah lawan sebenar buat Malaysia.

“Apa pun, jika saya diperlukan oleh jurulatih untuk beraksi menentang Denmark esok, saya sudah cukup bersedia,” kata juara remaja Asia, Jun Hao.

Malaysia akan menentang Denmark dalam perlawanan terakhir esok untuk menentukan siapa juara Kumpulan D.

Denmark yang turun sebagai juara bertahan turut mempamer aksi cemerlang setakat ini dengan membelasah Rusia 5-0 dalam satu lagi perlawanan, hari ini. - UTUSAN ONLINE