Malaysia pulang dari kejohanan Piala Thomas 2018 bersama kegagalan mencapai sasaran separuh akhir selepas tewas 2-3 kepada Indonesia dalam suku akhir semalam, sekali gus perlu me­nunggu lagi selepas kali terakhir memenangi­nya 26 tahun lalu.

Mereka juga terlalu bergantung kepada kudrat Chong Wei yang sudah mencecah 36 tahun apabila pemain itu memenangi semua empat perlawanan.

Walaupun begitu, Misbun melihat kemunculan Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao memberi sinar kepada badminton negara, malah beliau sudah melihat beberapa pemain muda lain yang boleh ditengahkan dalam tempoh dua tahun lagi.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi perseorangan lelaki. Lee Chong Wei masih garang dan dahagakan kejayaan pada usia yang sudah menginjak 36 tahun.

“Lee Zii Jia sudah mula me­nunjukkan peningkatan dari segi strategi serta kebijaksanaan dalam permainan. Dia boleh digilap untuk pergi jauh. Ini hanya kali pertama dia beraksi dalam Piala Thomas, dan saya percaya sekarang dia sudah faham tuntutan yang diperlukan.

“Bagi Iskandar Zulkarnain (Zainuddin), saya rasa dia terlalu lambat diketengahkan di peringkat antarabangsa. Dia ketinggalan lima tahun. Sepatutnya dia sudah berada di tahap sekarang pada lima tahun lalu, jadi (sekarang) agak terlambat.

“Apa pun, dia dibawa bersama skuad Piala Thomas kali ini kerana mempunyai material sebagai pemimpin pasukan. Semua pemain sukakannya, ketika berlatih atau dalam pertandingan. Walaupun dia kalah, dia tidak kalah mudah dan memiliki semangat juang yang tinggi.

“Sama ada BAM hendak singkirkan dia atau tidak, itu saya tidak boleh kata. Saya hanya boleh beri cadangan saya dan saya fikir dia adalah pemain berpasukan yang bagus,” katanya.

Kata Misbun lagi, sejujurnya Malaysia belum memiliki pemain yang betul-betul boleh menggantikan kedudukan Chong Wei ketika ini, namun kualiti yang dimiliki Zii Jia atau juara remaja Asia, Jun Hao mampu menaikkan mereka ke peringkat ter­tinggi.

Katanya lagi, kejayaan Chong Wei mengalahkan jaguh Denmark, Peter Gade Christensen ketika merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali pertama pada 2004 menjadi titik kepada lonjakan karier yang dialami pemain itu.

Pemain seperti Zii Jia atau Jun Hao juga memerlukan titik tolak yang sama sebelum dapat me­nempatkan diri dalam kalangan pemain-pemain terbaik dunia, ujar Misbun.

“Kita belum ada material pemain yang mampu menjadi ‘Raja Siri Super’ seperti Lee Chong Wei, tetapi kita ada material pemain yang boleh dinaikkan menjadi antara 10 terbaik dunia. Kita kena bekerja keras dari sekarang,” tegasnya.

Zii Jia memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan dengan mengalahkan Sergey Sirant (Rusia), Youcef Sabri Medel (Algeria) dan Hans-Kristian Vittinghus (Denmark) tetapi tewas 15-21, 21-11, 13-21 kepada Jonatan Christie dalam suku akhir menentang Indonesia.

Jun Hao, 18, hanya diturun­kan ketika menentang Algeria dan berjaya mencatat kemenangan 21-13, 21-8 ke atas Adel Hamek. – UTUSAN