Datuk Lee Chong Wei seperti diramal berjaya menyumbang mata pertama selepas menewaskan Angus Ng 21-15, 22-20 sebelum pasangan beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong menjadikan kedudukan 2-0 dengan kemenangan 21-11, 21-16 ke atas Or Ching Chun-Tan Chung Man.

Pemain perseorangan kedua negara, Lee Zii Jia tidak menghampakan para penyokong negara apabila berjaya mengesahkan tempat Malaysia di separuh akhir dengan kemenangan 21-16, 21-15 ke atas Vincent Wong.

Chong Wei berharap semangat yang ditampilkan pasukan negara terutama dalam kalangan pemain muda seperti Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dapat dikekalkan sehingga ke aksi sebenar di Bangkok, Mei ini.

Katanya, sebelum ini ramai tidak menjangkakan Malaysia mampu mara sehingga ke separuh akhir dan mereka juga tidak menjangkakan pasukan kebangsaan mampu menewaskan Taiwan 5-0 untuk menjadi juara kumpulan, semalam.

“Saya berharap semangat ini boleh di bawa hingga ke Bangkok.

“Kita tidak kisah jumpa siapa selepas ini, India atau China. Siapa menang dia akan jumpa kita,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.

Malaysia akan bertemu China yang mara selepas mengalahkan India 3-1. -UTUSAN ONLINE