Setakat pukul 11 malam tadi, pasukan negara mendahului Taiwan 4-0 untuk kemenangan ke­duanya selepas membelasah Myanmar 5-0 semalam.

Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia terus mencatat rekod sempurna dengan memenangi semua perlawanan setakat ini untuk membawa pasukan negara ke suku akhir, manakala beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mula mempamerkan aksi meyakinkan.

Chong Wei meletakkan Malaysia di depan selepas dipaksa berhempas pulas ketika menum­paskan Wang Tzu Wei 17-21, 21-13, 21-15, sebelum V Shem-Wee Kiong mengukuhkan kedudukan 2-0 dengan menang 21-14, 19-21, 21-16 ke atas Lee Jhe Huei-Lee Yang.

Zii Jia mengesahkan kemena­ngan Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim hanya dalam masa 46 minit menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-13 ke atas Hsu Jen Hao.

Beregu Ong Yew Sin-Tew Ee Yi memberi mata keempat mengalahkan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-14, 20-22, 21-14.

“Saya memang gembira dan teruja kerana bermain sangat baik dalam perlawanan ini.

“Sukar hendak menggambarkan perasaan, terutama beraksi di depan penyokong sendiri dan meletakkan pasukan dalam keadaan selesa,” kata Zii Jia selepas tamat aksi Kumpulan C.

Sementara itu dalam saingan wanita, kegagalan mengalahkan Thailand dalam perlawanan ter­akhir Kumpulan Y menyaksikan pasukan negara menempah laluan sukar menentang Korea Selatan pada suku akhir.

Malaysia menutup kempen selaku naib juara apabila tumpas 2-3 kepada Thailand selepas ketiga-tiga perseorangannya gagal me­nyumbangkan mata.

Perseorangan utama, Soniia Cheah tunduk 14-21, 15-21 kepada Nitchaon Jindapol, manakala Goh Jin Wei tewas kepada Pornpawee Chochuwong 19-21, 17-21 dan Lim Yin Fun kalah 23-22, 20-22 kepada Busanan Oongbarungphan.

Kedua-dua mata negara disumbangkan Vivian Hoo-Tee Jing Yi selepas menundukkan Cha­yanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong 21-19, 16-21, 21-15 dan Chow Mei Kuan-Goh Yea Ching menewaskan Putita Supajirakul-Saspiree Taerattanachai 21-15, 21-15.

Pengurus pasukan Piala Uber negara, Mohamed Zambri Bahari berkata, fokus utama pasukan ialah melayakkan diri ke separuh akhir untuk memudahkan laluan ke pusingan akhir di Bangkok, Mei ini.

Katanya, berdasarkan kepada prestasi hari ini, para pemain menunjukkan kesungguhan luar biasa untuk berdepan Thailand dan kurang bernasib baik untuk mencipta kemenangan.

“Kalau diikutkan kepada ­ranking dunia, kita sudah layak tetapi buat masa sekarang kita ketepikan dahulu ranking itu dan cipta kemenangan dalam perlawanan esok untuk memudahkan la­luan ke pusingan akhir di Thailand.

“Pemain-pemain yang akan ber­aksi esok masih belum diputuskan lagi dan ia akan ditentukan jurulatih malam ini.

“Ketiadaan Woon Khe Wei juga dilihat tidak memberi masalah kepada kita kerana kita mempunyai pengganti (Jing Yi) yang mampu memainkan peranan sama sepertinya,” katanya.