Dalam aksi terakhir skuad negara itu pemain harapan negara, Lee Zii Jia yang diturunkan selaku perseorangan pertama menggantikan Datuk Lee Chong Wei gagal menyumbang mata pertama selepas tewas 18-21, 9-21 kepada Shi Yuqi.


Pasangan beregu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bagaimanapun berjaya menayamakan kedudukan selepas menundukkan He Jiting-Tan Qiang 21-18, 21-12. 
Malaysia kembali ketinggalan selepas perseorangan kedua, Soong Joo Ven tewas mudah 17-21, 8-21 kepada Qiao Bin.


Pasangan beregu kedua negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin gagal menyamakan kedudukan untuk mengheret permainan ke aksi penentuan selepas tewas kepada Han Chengkai-Zhou Haodong 15-21, 13-21.


Zii Jia ketika ditemui memberitahu, dia sangat kecewa kerana gagal menyumbang mata penting buat negara ekoran penurunan prestasi dalam aksi terakhir itu.


“Saya mengakui agak kepenatan dan keadaan fizikal saya menurun hari ini.


“Saya juga perlu belajar untuk mengawal emosi selain tekanan semasa beraksi di dalam gelanggang,” katanya.- UTUSAN ONLINE