Legenda badminton negara itu, yang bakal kembali ke pangkuan BAM, nampaknya hanya mahu dibantu oleh mereka yang berpengalaman apabila dia memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan dengan badan induk badminton negara itu kelak.

Ini jelas apabila beliau berkata mereka yang hendak ditawarkan jawatan jurulatih pemain kebangsaan sepatutnya sudah terdedah kepada kejurulatihan peringkat akar umbi seperti di sekolah sukan untuk menimba pengalaman dan kemahiran.

“Jika pernah melalui proses di peringkat bawah, mereka akan tahu bagaimana untuk menguruskan karenah budak-budak, teknikal dan sebagainya.

“Kalau bekas atlet kebangsaan ini tiba-tiba berada di atas (jurulatih pemain senior), mereka hendak kawal atlet kebangsaan ini untuk sesuatu teknik, nanti pemain itu akan rasa, dia (jurulatih) pun tak pernah menang. Jadi, ini sebenarnya yang susah,” katanya, yang akan memulakan tugasnya bersama BAM pada bulan depan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Semarak Kasih Ramadan bersama anak-anak yatim di ba­ngunan syarikat perumahan Setia Awan Holdings Sdn. Bhd. di sini semalam.

Majlis berbuka puasa tersebut yang dianjurkan bersama oleh Gifted Community dan Komuniti I Love Manjung (KILM) turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Setia Awan Holdings, Datuk Jimmy Doh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim.

Misbun yang juga duta bagi sebuah projek baharu syarikat perumahan itu di Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP), diminta mengulas mengenai bekas pemain perseorangan badminton negara, Muhammad Hafiz Hashim yang dijangka menyertai barisan kejurulatihan BAM September ini.

Sementara itu, mengulas me­ngenai kekalahan pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei dalam pusingan kedua Siri Super Premier Terbuka Indonesia Jumaat lalu, Misbun berkata dia melihat kekalahan tersebut dari sudut positif.

“Chong Wei sebenarnya tidak tahu dia menjadi sasaran utama dan mereka (pemain lain) tahu kelemahan dan corak permainan dia, jadi dia harus sedar mengenai perkara itu.

“Mungkin dia juga keliru de­ngan corak permainan dia dengan jurulatih-jurulatih berbeza sebelum ini. Oleh itu, Chong Wei memerlukan orang yang lebih memberikan perhatian kepada­nya,” katanya.

Misbun adalah individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat Chong Wei sehingga muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super, dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England.

Beliau meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian pada 2013 atas ‘sebab peribadi’.

Misbun juga menjangkakan usaha melahirkan pemain badminton setanding Chong Wei akan mengambil masa 10-20 tahun lagi kerana tiada pelapis negara yang mampu menandingi pemain berumur 34 tahun itu.

“Ini terjadi kepada semua negara. Contohnya, Indonesia juga masih gagal mencari pengganti Taufik Hidayat, Thailand juga gagal mencari pengganti Boonsak Ponsana, manakala Denmark setidak-tidaknya Peter Gade digantikan Victor Axelsen.

“Perancangan jangka masa panjang sangat penting maka sebab itu apabila gabungan persatuan melihat pada pemba­ngunan junior remaja, itu adalah amat penting, kalau tidak setakat itu sahaja,” katanya.