Bekas ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek berkata, kebanyakan pemain yang menyertai kejohanan dwitahunan itu adalah pemain muda dan mampu menyerlah pada masa akan datang.

Katanya, pemain muda seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Aaron Chia yang dibawa ke Bangkok pastinya memperoleh pengalaman berharga daripada kejohanan itu.

“Kita tewas kali ini, namun kita perlu lihat untuk jangka panjang kerana pemain-pemain muda yang dibawa sudah dapat merasai suasana serta cabaran dalam Piala Thomas dan boleh menjadikan mereka pemain lebih matang.

“Saya percaya sekiranya dibekalkan dengan latihan keras serta komitmen, mereka boleh membentuk sebuah pasukan yang mampu memberikan cabaran lebih besar pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Skuad negara gagal mencapai sasaran separuh akhir yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas tewas 1-3 kepada Indonesia dalam suku akhir Piala Thomas manakala skuad Piala Uber kandas di peringkat kumpulan.

Rashid juga menegaskan bahawa ketiadaan pengarah teknikal bukan punca utama kegagalan skuad negara sambil menjadikan pencapaian 2014 sebagai rujukan kepada spekulasi itu.

“Saya tidak rasa ketiadaan pengarah teknikal punca kita tewas kali ini. Kalau dilihat, 2014 kita melangkah ke pentas final dan ketika itu jawatan itu masih belum ada. Bagi saya kekalahan kali ini adalah berpunca daripada kurang pengalaman,” katanya.