Dalam sidang akhbar pertama selepas empat bulan, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu turut berkongsi tentang penderitaan serta rawatan yang terpaksa dilaluinya selama hampir tiga bulan yang seboleh-bolehnya mahu dipadamkan dari hidupnya.

Kata Chong Wei, sesi rawatan itu juga membuatkan dia menangis setiap hari setiap kali tiba waktu makan kerana dia akan berdepan kesakitan setiap kali mahu menelan makanan tetapi hanya dengan makanan sahaja dia mampu melawan kanser yang dihidapinya ketika itu.

Bagaimanapun dia bertuah kerana empat daripada tujuh orang doktor yang merawatnya sepanjang di Taiwan adalah peminatnya, justeru dia merasa seperti berada di ‘rumah’ sendiri.

“Memang ia detik yang sukar...kalau boleh saya tidak mahu ingat lagi perkara itu. Sepanjang rawatan saya rasa seperti terbakar di bahagian leher dan membuatkannya bertukar kepada warna hitam.

“Doktor nasihatkan saya untuk lawan penyakit ini tetapi selepas tiga minggu, mulut saya pecah kerana kesan rawatan dan saya hanya mampu minum susu sahaja tetapi susah untuk telan kerana terasa sakit. Ketika itu, setiap kali mahu makan, saya akan menangis.

“Doktor kata, saya perlu makan, kalau tidak makan saya tidak boleh buat rawatan. Perkara ini memang saya mahu lupakan tetapi tuhan sudah pilih saya untuk lalui perkara ini dan saya terima,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Dia memberitahu, rawatan Proton Therapy yang dilakukannya sepanjang berada di Taiwan membuatkan leher dan sebahagian dada serta belakangnya bertukar kepada warna hitam seperti kesan terbakar selain berasa panas.

Bekas pemain No.1 dunia itu juga mengakui, pada mulanya dia tidak boleh terima hakikat dia menghidapi penyakit itu terutama selepas melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital pakar di ibu negara sebelum mendapatkan kepastian di sebuah lagi hopital pakar di Subang Jaya.

Katanya, selepas disahkan, dia dinasihatkan untuk ke Taiwan bagi mendapatkan pandangan kedua sebelum memutuskan untuk mendapatkan rawatan di sana selama hampir tiga bulan dan ditemani keluarganya.

“Selepas dapat tahu saya ada kanser, saya menangis selama seminggu, saya tidak lalu makan dan seperti hilang arah dalam kehidupan,” katanya. - UTUSAN ONLINE