Tanpa Datuk Lee Chong Wei, keadaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini tidak sama lagi kebelakangan ini.

Keadaan itu diakui beberapa jurulatih kebangsaan termasuk Datuk Tey Seu Bock yang berkata suasana di gelanggang latihan sunyi sejak beberapa bulan lalu apabila Chong Wei menjalani rawatan kanser hidung di Taiwan.

“Memang terasa sunyi, selalunya dia antara yang paling awal hadir ke sesi latihan dan selalu boleh dengar suara dia menjerit serta bersorak semasa berlatih, membuatkan pemain-pemain perseorangan lebih bersemangat.

“Selama beberapa bulan ini keadaan memang sunyi dan ramai tertanya-tanya di mana Chong Wei,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Seu Bock yang sebelum ini sempat melawat pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu di Taiwan mengakui sangat sedih melihat keadaan semasa Chong Wei yang sedang menjalani rawatan.

Katanya, bekas pemain No.1 dunia itu kelihatan semakin cengkung dan keadaan badannya semakin susut kerana tidak dapat meneruskan rutin hariannya.

“Dari dia kecil saya melihatnya, memang saya sedih dan pertama kali saya nampak dia memang saya sangat terkejut dengan keadaan fizikalnya,” katanya.

Sementara itu, Hendrawan juga mengakui ketiadaan Chong Wei di gelanggang latihan sa­ngat dirasai kerana dia merupakan contoh ikutan kepada pemain-pemain muda.

“Memang banyak perbezaan apabila Chong Wei tiada.

“Mungkin selama ini dia sentiasa memberikan kegembiraan kepada semua pihak tetapi sekarang dia tidak bersama kita, jadi pemain-pemain sedia ada perlu segera mematangkan fikiran mereka,” katanya.