Bagaimanapun, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan pihaknya akan berusaha mengumpulkan pemain terbaik untuk memastikan skuad negara memberikan cabaran kuat.

Katanya, Piala Thomas sangat penting buat rakyat Malaysia dan atas dasar itu, ketua jurulatih perseorangan negara Datuk Misbun Sidek serta ketua jurulatih beregu lelaki Cheah Soon Kit perlu me­lakukan persiapan terperinci dari segala aspek bermula dari aksi kelayakan yang akan berlangsung di Kedah pada awal tahun hadapan.

Tegasnya, BAM tidak akan sesekali memilih pemain berdasarkan kepada harapan peminat semata-mata ke kejohanan dwitahunan itu sebaliknya proses pemilihan akan dilakukan berdasarkan prestasi serta kualiti yang dimiliki pemain.

“Menjelang hujung tahun, nama-nama pemain se­perti Zulfadli (Zulkiffli) dan pemain perseora­ngan lelaki dari luar BAM akan naik kerana mereka ini sentiasa menarik minat peminat sukan badminton.

“Bagi saya, saya minta agar Misbun dan Soon Kit diberikan masa untuk melihat apa yang dia ada di dalam BAM dahulu dan paling penting ialah jika ada pemain luar yang dipilih, mereka perlu mengikuti syarat yang ditetapkan.

“Kita tidak mahu mengambil pemain berdasarkan kepada harapan peminat semata-mata kerana kedudukan Malaysia ketika ini sangat kritikal untuk Piala Thomas.

“Jika dahulu cabaran kita ha­nya daripada negara-negara tradisi tetapi kini banyak negara-negara yang semakin meningkat termasuk Taiwan, Hong Kong, India dan juga Thailand,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Olimpik Malaysia, di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, bekas juara remaja dunia Zulfadli enggan memikirkan peluangnya menyertai skuad Piala Thomas 2018 selepas kerap dipinggirkan daripada kejohanan berpasukan itu.

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui pernah berkecil hati dengan BAM selepas tidak dipilih menyertai kejohanan itu meskipun berkelayakan dan kini mahu memberi tumpuan kepada kejohanan individu utama sahaja.