Beliau berkata, semua fitnah yang dilemparkan terhadap Chong Wei tidak benar sama sekali dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik tersebut tidak pernah terbabit dalam kes seumpama itu.

“Semalam saya telah diwawancara oleh rakan media, mereka menyatakan terdapat beberapa alasan yang menyebabkan Chong Wei menarik diri daripada Kejohanan Badminton Dunia dan Sukan Asia, antaranya ialah dia terlibat dalam 1MDB.

“Semua itu tidak benar dan fitnah. Tuduhan tersebut merupakan satu penghinaan kepada Chong Wei yang merupakan wira negara.

“Perbezaan politik itu biasa, tetapi kita tak boleh lupakan begitu sahaja jasa beliau dalam mengharumkan nama negara kita,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Bekas pemain No. 1 dunia itu mengambil keputusan menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China yang membuka tirai hari ini dan Sukan Asia bulan depan setelah dinasihatkan oleh doktornya agar berehat bagi menjalani rawatan selepas mengalami masalah berkaitan respiratori.

Menurut Syed Saddiq, beliau sendiri telah berkunjung ke kediaman Chong Wei untuk bertanya khabar dengan pemain itu.

 “Saya telah pergi ke rumahnya dan saya berharap semua pihak dapat memberi ruang kepadanya untuk sembuh sepenuhnya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE