Pasangan yang baharu digandingkan itu muncul juara beregu wanita selepas mudah menundukkan Lauren Smith-Sarah Walker dari England 21-12, 21-12 dalam masa 42 minit dalam final di Pusat Sukan dan Riadah Carrara.

Ini adalah emas Sukan Komanwel yang kedua berturut-turut buat Vivian, 28, tetapi yang pertama buat Mei Kuan, 23, dalam penampilan sulungnya di temasya ini.

Pada temasya 2014 di Glasgow, Vivian memenangi emas bersama Woon Khe Wei yang bagaimanapun terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.

“Sudah tentu saya gembira dapat menyumbang sebutir pingat emas buat negara. Walaupun pungutan dua emas dianggap sederhana buat badminton, tetapi semua rakan-rakan saya sudah memberikan yang terbaik dan berjuang habis-habisan.

“Tiada siapa mahu kalah, cuma hari itu mungkin bukan hari mereka dan saya harap semua penyokong di luar sana teruskan memberi sokongan kerana kami amat memerlukan sokongan anda.

“Bagi saya, harap ini bukan emas terakhir saya dalam Sukan Komanwel kerana saya sendiri tidak pasti apakah saya akan beraksi dalam temasya itu empat tahun dari sekarang,” kata Vivian.

Kemenangan mereka membolehkan Malaysia menutup kempen di Gold Coast dengan pungutan tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa untuk menduduki tangga ke-12, mengatasi pencapaian enam emas di Glasgow 2014.

Sementara itu bagi Mei Kuan, pengalaman beraksi bersama pemain senior seperti Vivian dan memenangi emas dalam temasya besar cukup bermakna buat kariernya.

“Saya datang ke temasya ini menyertai pasukan yang dibarisi pemain-pemain senior. Mereka banyak mengajar saya, malah pemain senior daripada acara berbeza juga memberi tunjuk ajar kepada saya. Disebabkan saya hanya dibawa masuk pada saat akhir, saya langsung tidak fikir tentang emas. Vivian beritahu saya, apa yang kami harus lakukan hanyalah tumpu kepada permainan dan beri yang terbaik.

“Kepercayaan antara kami berdua adalah kunci kejayaan. Kami saling membantu dan melindungi satu sama lain, banyak saya belajar daripada temasya pertama saya ini,” kata pemain Kuala Lumpur berusia 23 tahun itu.