Kemenangan ini bakal menyaksikan Kepong BC bertemu peneraju Purple League, Ampang Jaya BC yang mendapat bye pada perlawanan esok.

Dalam perlawanan hari ini, Kepong BC ketinggalan 2-3 selepas pemain perseorangan lelaki negara Soong Joo Ven tewas 2-3 (11-5, 5-11, 10-11, 11-6, 10-11) kepada rakan sepasukan negara, Leong Jun Hao yang juga Juara Remaja Asia 2017.

Finalis musim lepas itu merapatkan jurang selepas Qin Jin Jing dari China mengalahkan Wei Yamen 3-0 (11-5, 11-9, 11-7) dalam acara perseorangan wanita dan kemenangan 3-0 menyusul selepas beregu profesional lelaki negara Mohd Arif Ab Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub menumpaskan Lwi Sheng Hao-Mohd Syazmil Idham Zainal Abidin, menjadikan kedudukan 8-3.

Ketinggalan lima mata di belakang, nasib Serdang BC bergantung di tangan beregu campuran Liu Lin-Yap Qar Siong tetapi pasangan itu tidak dapat menandingi Mads Conrad Petersen-Wu Qian selepas tewas 1-2 (11-10, 8-11, 11-7) dan menutup peluangnya untuk mara ke perlawanan seterusnya.

Bercakap kepada media selepas perlawanan, Ketua Jurulatih Kepong BC, Mohd. Zakry Latif gembira dengan kemenangan itu dan memuji anak buahnya yang mempamerkan aksi hebat dan semangat juang yang tinggi untuk menundukkan Serdang BC.

Beliau juga berkata beberapa perubahan dalam barisan pemain akan dilakukan dalam pertemuan esok kerana pasukan lawan adalah kuat dan dibarisi pemain hebat.

“Saya dapat rasakan kami mula agak perlahan dan tertekan sedikit selepas kekalahan Joo Ven yang dilihat terlalu inginkan kemenangan. Tetapi, Alhamdulillah, rakan sepasukan yang lain menunjukkan aksi terbaik untuk mencatat kejayaan 3-0 berturut-turut.

Sudah pasti perlawanan esok akan sengit kerana Ampang Jaya belum dikalahkan lagi musim ini tetapi kami akan duduk berbincang merangka strategi dan memberikan yang terbaik esok untuk mencipta kejutan,” katanya. - BERNAMA