Presiden PBNPs yang baharu dipilih, A’Amar Hashim menyatakan sokongan penuh itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan PBNPs Ke-36 di sini hari ini.

Katanya, semua Ahli Jawatankuasa sebulat suara mencalonkan Norza kerana percaya Timbalan Presiden BAM itu mempunyai karisma dan pe­ngalaman luas untuk dimanfaatkan dalam pembangunan sukan badminton di negara ini.

“Badminton di Malaysia memerlukan suntikan semangat dan idea daripada individu seperti beliau (Norza) yang mampu membimbing gene­rasi baharu sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan sukan ini khasnya di peringkat antarabangsa.

“Beliau bukan seorang yang asing dalam dunia badminton kerana sepanjang pembabitannya dalam sukan ini, ramai jaguh dan wira tempatan yang bertaraf dunia dilahirkan seperti Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat serta Tan Boon Heong,” katanya.

A'Amar, 36, yang sebelum ini merupakan Naib Presiden PBNPs dipilih sebagai pre­siden bagi penggal 2017-2019 selepas menewaskan penyandang jawatan Datuk Wan Nordin Che Murat dengan 40-37 undi.

Bekas pemain Perlis itu yang kini berkhidmat sebagai guru sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan di sini merupakan antara 95 peratus muka baharu yang menguasai kepimpinan PBNPs kali ini.

“Saya berharap dengan barisan Ahli Jawatankuasa yang 95 peratus adalah barisan baharu termasuk jurulatih perseorangan wanita negara Sairol Amar Ayob, bekas pemain dan bekas jurulatih akan dapat mengharumkan nama Perlis selepas ini,” katanya.