Kewujudan ‘gentlemen’s agreement’ dan persaingan yang dikatakan bakal berlaku antara dua pemimpin utama - Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (pemangku Presiden) dan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (Timbalan Presiden) bukan sahaja menarik perhatian peminat sukan tanah air, malah Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor. Rosmah berkata, beliau tidak memihak kepada mana-mana individu dan menyerahkan sepenuhnya isu pemilihan kepada ahli gabungan BAM, namun nasihatnya kepada mereka yang terlibat, siapa pun yang bakal dipilih haruslah meletakkan kepentingan pemain serta badminton mengatasi segala-galanya.
Malah, isteri Perdana Menteri itu dalam wawancara eksklusif bersama TV3 semalam turut menyentuh mengenai isu ketandusan bakat pemain yang disifatkan tidak berlaku kerana BAM telahpun melancarkan pelan komprehensif bagi Rosmah Mansor menaikkan pemain-pemain pelapis.

 

BAM ketandusan bakat?

Rosmah: Saya rasa perkara ini tidak betul (ketandusan bakat) kerana BAM telahpun mewujudkan pelan komprehensif untuk pemain-pemain pelapis. Sebab itu, sekarang BAM menyokong penuh pemain muda beraksi dalam kejohanan yang mungkin tidak besar dalam kalendar BWF (Persekutuan Badminton Dunia) tetapi memadai untuk mendedahkan mereka kepada suasana pertandingan. Mereka mendapat pengalaman bagaimana harus mengawal emosi serta mental (ketika di dalam gelanggang).

Saya rasa selepas (Datuk) Lee Chong Wei, Insya-Allah kita akan ada ramai lagi pelapis. Namun apa yang saya ingin katakan di sini, permainan mereka sebenarnya lebih kurang sama tetapi cara mereka mengendalikan kekuatan mental ketika di dalam perlawanan yang seharusnya kita asah dan kita perlu tingkatkan keyakinan mereka.

Nasihat menjelang AGM?

Pada pendapat saya secara peribadi, sesiapa yang inginkan jawatan haruslah mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap sukan tersebut dan bukan sekadar mahu memegang jawatan. Mereka perlu memberi sepenuh komitmen dan dedikasi, selain menggalas tanggungjawab memajukan sukan ber­kenaan.

Saya harap sesiapa pun yang duduk di tempat itu bukan ha­nya duduk untuk pergi ke luar negara dan bila menang baru nampak muka, bila tak menang...yelah. Mereka seharus­nya bersama-sama pemain, memahami perasaan mereka, memahami keperluan mereka, memahami emosi dan keadaan emosi mereka.

Sebagai Presiden atau pegawai dalam BAM, mereka perlu selalu mendampingi pemain-pemain kita dan buat macam anak atau adik. Jadi, kita tak boleh ‘top bottom’ dengan mereka, perjuangan mereka juga perjuangan pegawai-pegawai BAM.

Reaksi mengenai gentlemen’s agreement?

‘Gentlemen’s agreement’ itu me­mang ada tetapi sama ada pihak tertentu ingin memenuhi ‘gentlemen’s agreement’ itu terpulang kepada mereka. Itu saya serahkan kepada keprihatinan mereka sendiri.

‘Gentlemen’s agreement’ ber­makna Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid perlu beri laluan kepada Datuk Seri Moha­mad Norza Zakaria dan apa AGM perlu dibuat?

Saya rasa BAM perlu menyelesaikan masalah dalaman sendiri. Apa pun kita jangan tunjuk kepada orang luar bahawa BAM ini sedang berdepan masalah pe­rebutan jawatan. Apa yang mustahak adalah permainan dan juga pemain, bukannya kita.