Kekalahan ke-10 daripada 15 pertemuan dengan musuh tradisi itu juga penamat paling mengecewakan buat jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan ini adalah Piala Thomas terakhir buat dirinya.

Lebih mengecewakan Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal mengambil kesempatan atas masalah kesihatan dialami pasa­ngan No. 1 dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam pertemuan antara beregu pertama apabila tewas 19-21, 22-20, 13-21.

“Kevin cirit-birit sebelum perlawanan, malah terpaksa berlari ke tandas ketika kami hendak memasuki gelanggang.

“Dalam permainan saya beri­tahu dia, main perlahan-lahan, tidak mengapa jangan terburu-buru,” kata Marcus sejurus tamat permainan.

Chong Wei pada usia 36 tahun masih mampu memberi permainan terbaik apabila menghadiahkan mata pembukaan Malaysia dengan menewaskan pemain yang 15 tahun lebih muda daripadanya iaitu Anthony Ginting 21-19, 21-16.

Walau bagaimanapun kegagalan V Shem-Wee Kiong untuk meraih mata kedua, selain kekalahan Lee Zii Jia dan Aaron Chiah-Teo Ee Yi menamatkan kempen Malaysia di Bangkok.

Zii Jia, 20, yang membuat penampilan sulung dalam Piala Thomas tunduk 15-21, 21-11, 13-21 kepada Jonatan Christie, manakala Aaron-Ee Yi tumpas 18-21, 21-10, 9-21 di tangan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

“Sangat mengecewakan kerana saya melakukan banyak kesilapan hari ini dan anda boleh te­ngok dalam set pertama. Dalam set kedua, saya lebih tenang namun memasuki set ketiga fizikal saya turun sedikit, sebaliknya lawan lebih cergas dan pantas.

“Banyak yang saya pelajari di sini, saya tidak pernah beraksi dalam Piala Thomas sebelum ini dan ini kali pertama saya merasai suasana penonton yang ramai. Harap keyakinan saya tidak jatuh dan dapat diteruskan dalam kejohanan-kejohanan lain.

“Dua tahun lagi, Lee Chong Wei mungkin sudah tiada. Harap saya boleh terus mendapat tempat dalam pasukan. Jika beraksi sebagai perseorangan pertama, sudah tentu saya mahu bermain dengan lebih baik untuk Malaysia,” kata Zii Jia.

Selepas 26 tahun mencuba, dan dua kali layak ke final - di Guangzhou pada 2002 serta New Delhi pada 2014, Malaysia nampaknya masih perlu menunggu untuk memenangi Piala Thomas yang kali terakhir dijulang di Kuala Lumpur pada 1992.

Tanpa Chong Wei, cabaran Malaysia dua tahun dari sekarang pasti jauh lebih sukar, dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu melakukan sesuatu jika tidak mahu terus ketinggalan. – UTUSAN