Mat Sport
Mat Sport

Baik jawatan Presiden Persa­tuan Badminton Malaysia (BAM) yang diberi percuma oleh pemangkunya Tan Sri Mohammed Al-Amin Abdul Majid mahu pun jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang akan dise­rahkan Tunku Imran Tuanku Ja’afar tidak lama lagi tanpa dicabar.

Mat bukan apa, cuma ingin mengingatkan Norza. Jangan i­ngat apabila segala-galanya diperoleh dengan mudah, laluan di hadapan juga akan mudah. Jangan fikir kejayaan meme­gang jawatan dalam badan atau persatuan sukan negara yang cukup penting ini sekadar untuk bermegah semata-mata.

Norza sebaliknya kena membawa hasil yang baik kerana MOM bukan calang-calang badan penaung dan penggerak malah peranannya juga besar kepada pembangunan sukan negara.

Begitu juga dengan menerajui BAM, amat penting merencanakannya dengan baik memandang­kan badminton dianggap sukan utama di negara ini selain mempunyai reputasi tinggi dan pencapaian bertaraf dunia.

Mat hendak beri amaran, jangan hanya sibuk dan ghairah hendak menerajui sesuatu badan sukan itu tetapi habuk pun tidak ada selepas ini. Tetapi mengenai Norza, Mat percaya beliau sudah pun mempunyai misi dan visi sebelum berkecimpung dalam dunia sukan negara selepas era politiknya berakhir.

Paling penting Norza kena pastikan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Thomas dengan melepasi pusingan kelayakan iaitu Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah bulan depan. Itu ujian pertama dan utama yang perlu dilepasi Norza.

Jika gagal, kredibiliti Norza berkemungkinan dipersoalkan. Bayangkan persepsi peminat sukan, ketika Norza memegang jawatan Presiden BAM, Malaysia buat julung-julung kali gagal mara ke pusingan akhir Piala Thomas.

Sebagai bakal Presiden MOM pula, tugas berat turut menanti Norza selepas Tunku Imran te­lah berjaya meletakkan penanda aras yang tinggi menerusi temasya Sukan SEA 2017 yang lalu.

Mendepani Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 merupakan asas permulaan positif yang perlu dicari Norza sebelum mengambil alih jawatan yang ditinggalkan Tunku Imran nanti. Kita tidak mahu apabila Norza jadi Presiden MOM, semua pencapaian atlet negara jatuh merudum sekali gus memberi petanda tidak baik kepada sukan negara.

Ingat! Tanggungjawab yang dipikul itu perlu bergerak se­iring dengan pencapaian dan bukannya berniat mencari nama dan melebarkan kuasa sahaja. Semua mata sedang melihat apa yang mampu dilakukan Norza untuk tahun-tahun yang mendatang ini. Mat tunggu dan lihat apa yang berupaya dilakukannya.