Pemain berusia 18 tahun itu mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul kejuaraan remaja dunia keduanya di Kanada dengan menundukkan pemain Denmark, Line Christophersen 21-13, 21-11.

Walaupun gembira untuk menamatkan aksi di peringkat remaja dengan keputusan cemerlang termasuk mengulangi pencapaian 2015, namun dia menyatakan cabaran sebenarnya adalah di peringkat senior.

Katanya, tumpuannya kini terarah kepada aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula Mei tahun hadapan.

“Ini adalah kejohanan terakhir di peringkat remaja dan semuanya berakhir selepas saya menaiki podium. Sekarang ini sudah sampai masanya untuk saya beri tumpuan kepada aksi di peringkat senior kerana di sana cabaran sebenar akan bermula.

“Tahun ini cukup cemerlang buat saya kerana berjaya mencapai semua sasaran saya dan saya tidak sabar untuk memulakan aksi tahun hadapan terutama untuk berdepan kelayakan Olimpik 2020,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Jin Wei sebelum ini turut melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Remaja yang berlangsung di Buenos Aires, bulan lalu.

Pada masa sama, Jin Wei mengakui dia agak kecewa dalam aksi berpasukan campuran kerana gagal membantu negara untuk meraih kejuaraan selepas tewas kepada China di suku akhir.

“Agak kecewa ketika itu tetapi saya berazam untuk menebus kekecewaan dalam acara individu dan akhirnya berjaya,” katanya.