Daren, 31, menunjukkan keazaman tinggi untuk menampung ketiadaan Datuk Lee Chong Wei di Nanjing, China apabila mengejutkan pemain No. 5 dunia, K. Srikanth dari India 21-18, 21-18 untuk mara ke suku akhir buat kali pertama.

Peluangnya untuk mara ke separuh akhir agak cerah kerana akan berdepan pemain bukan pilihan dari Jepun, Kanta Tsuneyama yang menyingkirkan Brice Leverdez dari Perancis 21-17, 21-15.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yin terus cemerlang dalam penampilan sulung Kejohanan Dunia apabila mengejutkan beregu berpengalaman Denmark yang juga pilihan kelapan, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 21-16.

“Ini pencapaian terbesar saya sejak bergelar pemain profesional, tetapi saya mahu memastikan dapat menjadi lebih baik,” kata Daren, yang mengalahkan Tsuneyama dalam satu-satunya pertemuan mereka pada Terbuka Taiwan 2015.

Aksi perseorangan lelaki turut menyaksikan juara lima kali, Lin Dan dari China tewas kepada rakan senegara, Shi Yuqi 15-21, 9-21. Yuki akan bertemu Chou Tien-Chien dari Taiwan, manakala juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark menentang Chen Long.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui, prestasi tidak diduga meningkatkan keyakinan mereka untuk pergi lebih jauh biarpun bakal berdepan cabaran getir juara Asia yang juga beregu No. 5 dunia, Li Junhui-Liu Yuchen dari China esok.

Junhui-Yuchen mengecewakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong apabila menumpaskan pasangan negara itu 16-21, 21-15, 22-20.

“Walaupun lawan kami adalah beregu No.8 dunia, kami tidak terlalu menghormati mereka, sebaliknya mengasak sejak permainan bermula untuk mengelak daripada mendedahkan kelemahan.

“Mereka antara 10 beregu terbaik dunia, jadi kami sudah buat banyak kajian sebelum turun ke gelanggang dan mencapai sasaran awal untuk berada di suku akhir.

“Seandainya lebih daripada ini, ia akan dikira bonus tetapi selepas menang hari ini, impian kami semakin besar dan saya lihat peluang ke separuh akhir dan final tidak mustahil,” katanya.

Turut mara ke suku akhir beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menyingkirkan pilihan ke-11 dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith 21-16, 17-21, 21-18 untuk bertemu pilihan ketiga dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Cabaran Malaysia dalam perseorangan wanita berakhir selepas Goh Jin Wei ditunjukkan jalan keluar oleh juara bertahan, Nozomi Okuhara dari Jepun 21-23, 13-21.

Turut tersingkir beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang tewas 18-21, 13-21 kepada pilihan kelima dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu, manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai tumpas 22-20, 14-21, 6-21 di tangan R. Satwiksairaj- P. Ashwini dari India.