Lebih istimewa lagi, bekas pemain No. 1 dunia itu berjaya mengalahkan peserta yang mengecewakannya dalam pe­rebutan pingat emas Sukan ­Olimpik 2016, Chen Long dari China 21-14, 21-19.

Walaupun kemenangan ini tidaklah terlalu besar berban­ding All England, kejuaraan terakhir yang dimenanginya tahun ini pada Mac lalu, namun Chong Wei percaya, gelaran itu adalah tonik terbaik sebelum melangkah ke 2018.

“Saya cuba yang terbaik untuk kembali mendapat rentak dan keyakinan. Harap kemenangan ini mampu membantu menaikkan semangat saya bagi menghadapi 2018 kerana ada ba­nyak kejohanan besar menanti.

“Tahun depan saya tidak menyertai begitu banyak kejohanan dan akan lebih selektif, jadi ini adalah pencapaian yang saya perlukan untuk pulih semangat.

“Saya sudah layak ke Siri Super Akhir (di Dubai, 13-17 Disember) tetapi tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi. Harap dapat tutup 2017 de­ngan cemerlang dan melangkah ke 2018 bersama keyakinan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kejayaan di Colisuem Hong Kong bukan sahaja memboleh­kan Chong Wei mencatat kemenangan ke-14 daripada 27 pertemuan dengan Chen Long sejak 2009, malah membawa pulang pulang AS$30,000 (RM123,000).

Chong Wei, 35, yang sudah mengutip 46 gelaran Siri Super sepanjang kariernya bakal menggalas tugas besar pada Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Piala Thomas tahun depan. Dia juga menjadi sandaran dalam Kejohanan Dunia dunia di Nanjing, China.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang terus mempercayai saya walaupun banyak benda yang berlaku sepanjang lapan bulan dan saya tidak menang sebarang kejuaraan,” katanya lagi.

Kekecewaan terbesar Chong Wei tahun ini adalah tewas mengejut kepada pemain Pe­rancis, Brice Leverdez pada pu­singan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos lalu.

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, Chong Wei lebih menikmati perlawanan dan tidak gopoh ketika me­ngatasi Chen Long.

“Saya rasa, da­lam pertembungan hari ini dia main sangat bagus dan lebih berani.

“Dia tak go­poh, berkeyakinan dan menikmati perlawanan walaupun dalam beberapa perlawanan dia main tak bagus,” katanya.