Peng Soon-Liu Ying menepati ramalan selepas turun selaku pilihan utama berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dengan keputusan 21-16, 21-15 manakala V Shem-Wee Kiong mengetepikan cabaran wakil Taiwan, Lu Ching-yao-Yang Po-han 21-13, 21-17 dalam aksi final.

Kedua-dua pasangan tersebut sudah tidak lagi bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan mereka kini berada di landasan terbaik untuk mengumpul mata bagi mencari tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Liu-Ying berkata, dia dan pasangannya perlu mencari penaja secepat yang mungkin bagi memboleh­kan mereka menumpukan perhatian terhadap misi ke Olimpik Tokyo.

“Ketika ini, amat penting untuk mencari tajaan yang mencukupi agar kami dapat menyertai kejohanan dalam usaha kami ke Temasya Olimpik dan kami berharap dapat selesaikannya sebelum April ini dan selepas itu, kami hanya perlu fokus terhadap kejohanan yang disertai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu berkata, dia berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkannya dalam aksi final tersebut dan kini tumpuan mereka akan beralih kepada Terbuka Malaysia yang bermula 2 hingga 7 April ini.

Dalam pada itu, pasangannya, Peng Soon mengakui berasa puas apabila berjaya membawa pulang trofi kemenangan.

“Saya berasa amat gembira. Saya gembira dengan prestasi peribadi dan diharapkan kami dapat mempamerkan aksi lebih baik pada masa akan datang,” katanya. Sementara itu, V Shem turut melahirkan rasa gembira menjuarai Thailand Masters selepas terpaksa menunggu selama dua tahun sebelum memenanginya.