Jun Hao mengalami kecederaan pangkal paha kiri manakala Zii Jia mengalami kecederaan otot lutut kanan dan membuatkan kedua-dua pemain itu terpaksa melupakan baki aksi hujung tahun ini.

Jun Hao mengalami kecederaan itu semasa pusingan pertama Cabaran Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Pasir Gudang, bulan lalu sebelum menjadi naib juara dalam kejohanan sama.

Kesan daripada itu, dia terpaksa menarik diri daripada Cabaran Antarabangsa serta Siri Antarabangsa di India manakala Zii Jia terlepas peluang untuk beraksi di Korea Masters dan kini sedang menjalani proses pemulihan.

“Saya ada masalah di bahagian otot dan tendon, atas sebab itu saya tidak boleh menyertai kejohanan di India.

“Kecederaan ini berlaku semasa pusingan pertama di IC (Cabaran Antarabangsa) Malaysia dan saya rasa sangat sakit semasa masuk separuh akhir.

“Saya perlu berehat sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum menjalani pemeriksaan susulan, seandainya masih sakit saya perlu teruskan proses pemulihan,” kata Jun Hao ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Zii Jia mengalami kecederaan selepas mengambil risiko beraksi dalam kejohanan sama dan kini terpaksa berehat untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Saya mengambil risiko besar dan ia menyebabkan kecederaan menjadi semakin serius. Susah untuk saya cakap, kalau keadaan menjadi semakin serius, mungkin sukar untuk pulih.

“Memang saya akui sangat kecewa kerana tidak dapat menyertai Korea Masters kerana itu adalah peluang untuk saya menempatkan diri dalam perancangan perseorangan negara ke Piala Thomas.

“Piala Thomas merupakan kejohanan yang besar untuk saya, tetapi kalau saya tidak cukup cergas, saya akan tarik diri,” katanya.