Berdasarkan kepada situasi semasa, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berjaya menamatkan saingan musim ini dengan dua kejuaraan iaitu All England dan Siri Super Terbuka Hong Kong namun barisan pemain negara lain masih belum menunjukkan sebarang peningkatan ketara.

Kemunculan negara-negara bukan tradisi sukan badminton seperti Taiwan, Hong Kong, India dan Thailand jelas meletakkan Malaysia dalam keadaan bahaya selain wujud kemungkinan Malaysia berkemungkinan tidak layak beraksi dalam kejohanan dwitahunan itu buat kali pertama dalam sejarah.

Mengikut kedudukan semasa, Malaysia kini menghuni ranking ketujuh dunia, di hadapan Indonesia, Hong Kong dan India yang sedang menunjukkan peningkatan luar biasa dan mampu menjadi penghalang kepada negara di Alor Setar.

Bagi mendapatkan kelayakan secara automatik, Malaysia perlu berada sekurang-kurangnya di separuh akhir tetapi masih berpeluang layak secara ranking seandainya China, Taiwan, Korea dan Jepun layak ke saingan empat terbaik.

Peluang Malaysia akan tertutup rapat sekiranya Indonesia, Hong Kong dan India layak ke separuh akhir.

Situasi itu jelas membimbangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berharap barisan pemain negara sedia ada segera menunjukkan peningkatan prestasi untuk berdepan aksi getir itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga sedar dengan situasi itu dan mengakui pihaknya sedang menggandakan usaha untuk menyediakan barisan pemain terbaik bagi menggalas cabaran negara di aksi kelayakan itu.

“Memang saya akui, pada usia 35 tahun, Chong Wei masih bersemangat dan sentiasa memberikan komitmen penuh kepada negara tetapi pada waktu ini kami perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan prestasi pemain agar dapat bergerak seiringan dengan jaguh negara ini.

“Saya rasa (Datuk) Misbun Sidek juga sedar dengan situasi semasa yang berlaku dan dia juga sedang menggandakan usaha untuk mendapatkan barisan pemain terbaik untuk menggalas cabaran negara di aksi kelayakan Piala Thomas.

“Buat masa sekarang masih belum ada barisan pemain, Januari nanti kami akan umumkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.