Namun, pemain ber­usia 20 tahun itu walaupun gembira dengan kejayaannya tetapi tidak melihat pencapaian itu sebagai sesuatu yang besar apabila seluruh pemain dan peminat badminton bersimpati terhadap nasib yang me­nimpa se­niornya Datuk Lee Chong Wei.

“Pertama sekali, saya sa­ngat gembira dengan kemenangan ini. Ini merupakan gelaran terbesar pernah saya menangi.

“Apa pun saya tidak i­ngin berita (kemenangan) ini diperbesarkan kerana ada berita lebih penting buat masa sekarang iaitu tentang Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berita Chong Wei selain kehilangan kawan senegeri dengan saya Tan Chee Tian yang mana kami pernah berlatih bersama ketika kanak-kanak.

“Sesuatu yang menyedihkan tentang Chong Wei dan kehilangan Chee Tian. Semoga Chong Wei segera sembuh dan ucapan takziah kepada keluarga Chee Tian,” kata Zii Jia ketika dihubungi di sini hari ini.

Kemenangan Zii Jia hari ini menamatkan penantian Malaysia yang tidak pernah me­nyaksikan pemainnya muncul juara Terbuka Taiwan sejak Datuk Lee Chong Wei me­lakukannya pada 2004.

Pemain Malaysia yang lain pernah menjuarai kejohanan tersebut adalah Misbun Sidek (1987) dan Wong Choong Hann (2003).

Namun, laluan Zii Jia untuk mengulangi pencapaian tiga pemain berkenaan bukan mudah apabila terpaksa berhempas pulas selama 62 minit oleh Riichi dari Jepun sebelum menang 21-17, 16-21, 21-11 di Arena Taipei.

Kemenangan tersebut membolehkan pemain berusia 20 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,500 (RM155,512).