Hendrawan juga berang apabila sesetengah pihak menggambarkan Chong Wei seperti berdepan isu kesihatan yang sangat serius hingga terpaksa menggantung raket, sedang hakikatnya dia hanya memerlukan rehat dan dijangka kembali ke gelanggang sekurang-kurangnya dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

“Apabila keluar berita menyatakan dia akan bersara awal, saya sangat terkejut dan kecewa kerana spekulasi seperti ini sememangnya mengganggu moral serta emosi Chong Wei.

“Ingin saya tegaskan bahawa dia perlu fokus kepada proses pemulihan dan saya memang sedih apabila keadaan Chong Wei diperbesarkan oleh media,” kata Hendrawan ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Ketika menjelaskan situasi sebenar yang dialami pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu, Hendrawan berkata, Chong Wei dikesan mula mengalami masalah kesihatan selepas lehernya kelihatan bengkak semasa aksi menentang Kento Momota pada separuh akhir Terbuka Indonesia, awal bulan ini.

Hendrawan yang mengiringi Chong Wei ke kejohanan tersebut percaya, bengkak di leher adalah punca kepada masalah pernafasan yang dialami jaguh negara itu ke­rana ketika permainan berlangsung, dia jelas kepenatan dan permainannya terganggu.

“Dia kelihatan sangat sakit ketika beraksi dalam separuh akhir di Indonesia. Lehernya juga nampak bengkak dan saya beritahu supaya menarik diri tetapi dia masih mahu beraksi.

“Sebagai jurulatih, saya tidak pernah nampak dia begitu penat. Permainannya menjadi semakin perlahan dan tenaganya semakin berkurangan.

“Selepas Terbuka Indonesia, dia minta untuk bercuti seminggu. Saya fikir mungkin dia keletihan, tetapi selepas pemeriksaan doktor, jelas dia mengalami masalah kesihatan,” katanya lagi.

Ketika ditanya apakah rawatan yang kini dilakukan oleh Chong Wei, Hendrawan berkata, pemain itu mempunyai dua pilihan iaitu menjalani rawatan di dalam negara atau di luar.

Hendrawan bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada Chong Wei berada di Taiwan seperti dilaporkan media, sebaliknya menegaskan, dia perlu mendapatkan pandangan daripada dua doktor berbeza sebelum membuat keputusan.

Dia juga meminta Chong Wei untuk memberi keutamaan kepada proses rawatan yang mungkin memakan masa lebih sebulan sebelum kembali menjalani latihan untuk mencapai misi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Sekarang ini Chong Wei hanya fokus kepada proses rawatan dan dia sama sekali tiada niat untuk berhenti daripada bermain,” tegasnya lagi.

Berdasarkan perancangan awal, Chong Wei dijadual menyertai beberapa kejohanan besar sepanjang tahun ini termasuk Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia selain fokus utamanya iaitu Sukan Asia di Jakarta, bulan hadapan.