Zulfadli dan Chun Seang masing-masing dijatuhi hukuman gantung 20 tahun dan 15 tahun daripada terlibat dengan sebarang aktiviti melibatkan sukan badminton setelah kedua-dua pemain berkenaan disabitkan de­ngan dakwaan mengatur perlawanan. Hukuman itu boleh dianggap memusnahkan terus karier kedua-dua pemain itu dalam badminton.

Zulfadli didapati bersalah kerana terlibat de­ngan 27 kes mengatur perlawanan, manakala Chun Seang terbabit dengan 26 kes. Selain digantung daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan badminton, dua pemain profesional itu masing-masing turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM98,162) dan AS$15,000 (RM58,897).

Kedua-dua pemain itu didapati bersalah selepas sebuah panel bebas dilantik oleh BWF membicarakan kes mereka di Singapura pada Februari lalu.

Mengulas mengenai keputusan itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamed Norza Zakaria menganggapnya sebagai perkara yang menyedihkan untuk badminton negara kerana ini merupakan kes mengatur perlawanan pertama melibatkan pemain negara.

“Hari ini merupakan hari yang sedih buat badminton khususnya Malaysia apabila ada pemain kita yang terlibat dengan sindiket mengatur perlawanan.

“Pemain ini masih boleh membuat rayuan yang mengambil masa selama 21 hari (bermula hari ini), mereka perlu membayar AS$500 (RM1,960) tetapi perlu membayar penalti yang dikenakan sebelum mengemukakan rayuan.

“Bagi proses rayuan tersebut, pemain perlu melantik seorang panel (berdasarkan senarai BWF) dan BWF juga akan melantik seorang panel. Daripada dua panel tersebut mereka akan melantik seorang pengerusi untuk mempengerusikan proses rayuan tersebut.

“CAS (Mahkamah Timbang Tara) merupakan proses yang terakhir sekali,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Norza memberi­tahu hukuman yang dikenakan kepada mereka berdua adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Hukuman ini boleh dikurangkan, kekal atau meningkat, namun besar kemungkinan hukuman itu akan meningkat kerana mereka bukan dikenakan hukuman gantung seumur hidup. Mereka ada peguam masing-masing jadi terpulang kepada mereka sama ada mahu merayu atau tidak. Kami akan membantu setakat yang mampu jika mereka memerlukan,” katanya.

Tambah Norza, beliau memberi amaran kepada mana-mana pemain di bawah naungan BAM untuk menjauhkan diri daripada aktiviti tidak sihat itu malah akan memberi didikan kepada mereka serta pemain persendirian tentang isu mengatur perlawanan.

“Kami tidak akan berkompromi dengan perkara sebegini. Ini merupakan amaran kepada BAM yang mana jika kami tidak menyelesaikannya dengan segera, masalah ini akan parah. Jika ada pemain yang didekati bookie mereka perlu segera memberitahu BAM,” katanya.