Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau sudah meminta ketua jurulatih beregu lelaki Cheah Soon Kit untuk segera mencari jurulatih baharu kerana tidak mahu perancangan yang sudah diatur tergendala.

Katanya, BAM juga memberi kebenaran kepada Soon Kit untuk mencari lebih daripada seorang jurulatih kerana mereka bakal mengendali sebanyak 11 pasa­ngan dalam acara itu.

“Soon Kit memerlukan jurulatih yang boleh bekerjasama dengannya sebagai sebuah pasukan kerana mereka memerlukan kesefahaman untuk mencapai sasaran yang ditetapkan kepada mereka.

“Buat masa sekarang kami mahukan jurulatih tempatan kerana mereka ini faham dengan perangai pemain sedia ada.

“Jika Soon Kit mahu lebih daripada seorang jurulatih, saya bersetuju. Saya akan memberikan tempoh beberapa hari kepada Soon Kit untuk menyediakan se­narai pendek calon-calon jurulatih yang dimahukan,” katanya selepas Majlis Perjanjian Kerjasama BAM dan Daihatsu di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Menerusi majlis perjanjian itu, Daihatsu akan menjadi penaja kejohanan Malaysia Masters yang akan berlangsung di Axiata Arena, Januari hadapan.

Sabtu lalu, BAM mengesahkan bahawa Jeremy sudah menghantar surat peletakan jawatan selaku jurulatih beregu lelaki dengan notis tiga bulan, kira-kira dua minggu selepas Morten Frost Hansen melepaskan jawatan Pengarah Teknikal BAM.

Antara pencapaian terbaik Jeremy ialah meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio menerusi Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza memberitahu, BAM akan mula menguatkuasakan tindakan membenarkan hanya pemain naungan badan induk sukan badminton negara itu beraksi dalam kejohanan bertaraf Siri Super dan Grand Prix Emas bermula 1 Disember ini.

Katanya, pihaknya sudah mengeluarkan kenyataan kepada persatuan badminton setiap ne­geri berhubung perkara itu dan antara lain bertujuan untuk tidak mengganggu perancangan yang sudah dibuat ke atas pemain-pemain mereka.

“Ada beberapa kejohanan se­perti Terbuka Macau dan China Masters akan berlangsung November ini, jadi kami berikan sedikit kelonggaran untuk mereka.

“Kami sudah maklumkan kepada mereka bahawa polisi yang ditetapkan sebelum ini hanya akan mula dikuatkuasakan pada 1 Disember ini,” katanya.