Dia yang juga naib juara remaja dunia 2017 menjadi salah seorang daripada empat pemain yang mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek untuk menggalas cabaran negara di kejohanan dwitahunan itu.

Pemain berusia 19 tahun itu berjaya menunjukkan peningkatan prestasi selepas dimasukkan ke dalam skuad senior sekali gus berjaya mendapatkan tempat di dalam skuad Piala Thomas negara bagi edisi kali ini.

“Sebelum ini saya tidak meletakkan sebarang harapan kerana persaingan agak sengit bersama beberapa pemain lain dan saya hanya mengetahui nama saya tersenarai selepas diumumkan BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

“Kini saya adalah sebahagian daripada pasukan negara, sudah pasti saya tidak sabar untuk beraksi sekiranya diberikan peluang dan saya mahu menyumbang mata buat Malaysia,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini baru-baru ini.

Jun Hao menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini termasuk muncul juara di Terbuka Finland, bulan lalu selain berjaya ke separuh akhir Thailand Master dan Terbuka Austria pada awal tahun ini.

Selain Jun Hao, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi akan dipertanggungjawabkan untuk mengetuai cabaran negara di Piala Thomas bersama Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam acara perseorangan.

Malaysia yang menyasarkan sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir diundi bersama juara bertahan Denmark, Algeria dan Rusia di dalam Kumpulan D.