Bagaimanapun, Jun Hao terpaksa bekerja keras selama hampir 75 minit sebelum menewaskan Bai 21-6, 20-22, 21-17 bagi memastikan kejuaraan dalam edisi kali ini.

Jun Hao menjadi atlet ketiga merangkul kejuaraan itu selepas Zulfadli Zulkiffli meraih kejuaraan itu pada 2011 dan Soo Teck Zhi pada 2013

Pemain berusia 18 tahun itu nyata gembira dengan pencapaiannya itu walaupun mengakui banyak melakukan kesilapan terutama pada set kedua dan set ketiga sehingga menyebabkan dia hampir menjadi mangsa dalam perlawanan itu.

“Set pertama agak senang tetapi pada set kedua saya sudah mendahului dan akibat terlalu mahu cepat menamatkan permainan, saya banyak melakukan kesilapan mudah dan terpaksa melepaskan perlawanan itu.

“Pada set ketiga saya bangkit dengan strategi permainan yang lebih berani dan berjaya menang kejohanan ini,” katanya.

Pengurus pasukan remaja negara, A’amar Hashim menzahirkan kegembiraannya terhadap pencapaian Jun Hao sambil dan berharap pemain itu dapat mengekalkan rentak cemerlang bagi berdepan aksi Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung Oktober ini di Yogyakarta.

“Dia merupakan pemain yang berbakat dan berpotensi untuk maju pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, dia perlu lebih yakin terhadap kemampuan sebenarnya selain perlu fokus terhadap permainannya kerana saya melihat dia sering kehilangan fokus semasa pertengahan permainan.

“Kami juga akan memberi tumpuan untuk memperbaiki strategi permainannya selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam aksi berpasukan minggu lalu, pasukan Malaysia sekadar meraih pingat gangsa selepas perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa menarik diri ketika perlawanan menentang Gregoria Mariska ekoran kecederaan buku lali.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menzahirkan perasaan bangga dengan pencapaian pemain remaja negara selepas kurang bernasib baik dalam acara berpasukan.

“Dengan fokus BAM kini untuk melancarkan Liga Remaja Kebangsaan bermula Januari 2018, saya pecaya lebih ramai pemain remaja berkualiti dari Malaysia akan muncul menghiasi pentas antarabangsa tidak lama lagi,” katanya.