Pengalaman dan kematangan jaguh No. 1 dunia tersebut nyata membantunya dalam kejohanan badminton tertua di dunia itu apabila unggul mengalahkan pemain muda China, Shi Yuqi 21-12, 21-10 pada final di Barclaycard Arena.

Malah, sejurus tamat kejohanan, pemain berusia 35 tahun itu turut menegaskan, All England kali ini bukan yang terakhir buat dirinya dan dia bersedia untuk kembali ke gelanggang, tahun depan. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan saya rasa seperti bermain di Malaysia kerana penonton penuh satu stadium sejak hari pertama.

“Ini adalah kejohanan kegemaran saya dan saya harap dapat berjumpa anda semua (peminat) dalam All England tahun depan.

“Saya akan mempertahankan gelaran saya dan turut memburu Kejohanan Dunia tahun ini (Glasgow, 21-27 Ogos),” kata Chong Wei ketika ditemu bual oleh pengulas yang disiarkan secara langsung di televisyen. 

Kemenangan Chong Wei, yang beraksi di pentas akhir buat kali ketujuh mengubat kelukaan peminat badminton Malaysia, yang hampir melihat sejarah tercipta selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menjadi beregu campuran pertama mara ke final selepas 62 tahun, tetapi kalah dalam pertarungan akhir.

Malah, kemenangan tersebut turut mengubat kekecewaan Chong Wei yang tersingkir pada pusingan awal tahun lalu, selain gagal memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2016 di Rio. Dia sebelum ini turut muncul juara pada 2010, 2011 dan 2014.

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying gagal membawa pulang trofi All England selepas tewas 21-18, 19-21, 16-21 dalam masa satu jam 26 minit kepada wakil China, Lu Kai-Huang Yaqiong.

Namun walau apa pun keputusan, pencapaian mereka, yang sebelum ini turut melakar sejarah meraih pingat perak Sukan Olimpik tahun lalu cukup membanggakan kerana menjadi beregu campuran pertama mara ke final sejak David Ewe Choong yang berganding dengan pemain dari England, June White melakukannya pada 1955. 

“Kedua-dua mereka sudah memberikan yang terbaik. Kami sepatutnya boleh menangi di set kedua. Sungguh merugikan. 

“Di set ketiga Liu Ying mula kehilangan konsentrasinya apabila China mendahului 6-0.

“Hari ini, saya fikir mereka beraksi dengan cemerlang walaupun di set ketiga lawan sudah meninggalkan mereka. 

“Walaupun keadaan Liu Ying tidak berada 100 peratus namun saya boleh katakan dia telah memberikan 80 peratus. 

“Saya gembira Peng Soon turut bermain dengan baik,” kata jurulatih beregu campuran Malaysia, Chin Eei Hui ketika dihubungi di sini hari ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara beregu campuran adalah pada 64 tahun yang lalu menerusi gandingan David Choong-June White.