Bekas juara remaja Asia itu menang 21-13 di set pertama, sebelum lawannya, Leong Jun Hao menarik diri di set kedua pada kedudukan 1-7 akibat kecederaan dalam final perseora­ngan lelaki Kejohanan Badminton Kebangsaan di Ipoh, hari ini.

SOONG JOO VEN bersama trofi kejuaraan di Ipoh, semalam. – BERNAMA
SOONG JOO VEN bersama trofi kejuaraan di Ipoh, semalam. – BERNAMA

Terdahulu, pilihan utama, Lee Zii Jia tewas mengejut pada pusingan kedua manakala pilihan kedua, Liew Daren menarik diri pada peringkat awal akibat kecederaan, sekali gus menjadikan laluan Joo Ven, 23, tidak begitu teruji.

“Memang saya gembira dan akan jadikan kejayaan ini sebagai perangsang untuk meraih kejayaan di peringkat antarabangsa selepas ini.

“Peluang (gelaran antarabangsa) ada tetapi bergantung kepada prestasi semasa,” katanya.

Dalam perseorangan wanita, Soniia Cheah mempertahankan gelaran selepas menundukkan Goh Jin Wei 21-10, 21-14 manakala Teo Ee Yi-Ong Yew Sin muncul juara beregu lelaki menewaskan Aaron Chia-soh Wooi Yik 21-12, 21-19.

Anna Cheong-Lim Chiew Sien pula mengalahkan Cheah Yee See-Teoh Mei Xing 23-21, 21-17 bergelar juara beregu wanita.

Naib juara Olimpik, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menundukkan pasangan Hoo Pang Ron-Shevon Lai 17-21, 21-13, 21-19 untuk me­rangkul kejuaraan beregu campuran.