Legenda badminton nega­ra itu memberitahu, pemain berusia 22 tahun itu sudah menunjukkan peningkatan ke­tara sejak kebelakangan ini dan sewajarnya diberikan peluang untuk beraksi.

Katanya, sejak melihat Joo Ven beraksi di dalam acara berpasukan di Sukan SEA ke-29 selaku perseorangan kedua, dia melihat pemain itu berpotensi dan pres­tasi semasa­nya tidak jauh beza jika diban­dingkan dengan pemain-pemain lain di negara ini.

“Saya merasakan dia merupakan pemain yang boleh dibentuk dan kekuatan yang dimiliki­nya seimbang de­ngan pema­in-pemain lain di dalam negara ini.

“Kami memberikannya peluang yang besar, jadi dia perlu bersedia untuk ke arah itu selain bersedia untuk beraksi sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini semalam.

Semalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan senarai penuh pe­­main yang akan beraksi di kelayakan Piala Thomas bermula 6-11 Februari ini dengan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei diberi kepercayaan untuk mengetuai pasukan kali ini.

Selain Joo Ven, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lee Zii Jia turut berada di dalam skuad kali ini bersama Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di dalam acara beregu lelaki.

Misbun berkata, pasukan yang dipilih itu merupakan barisan terkuat yang dimiliki Malaysia ketika ini dan skuad kebangsaan sentiasa mempunyai peluang meraih kejayaan dalam kejohanan itu.

“Sebagai ketua jurulatih perseorangan, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menyediakan pasukan terkuat, walaupun pada dasar­nya kelihatan seperti tidak kuat tetapi peluang itu tetap ada.

“Buat masa sekarang, mereka akan terus dinilai dan menjalani latihan mengikut modul yang saya sediakan agar mereka faham cara untuk menjadi seperti Chong Wei,” kata­nya.