Juara remaja dunia edisi 2015 di Peru itu mara ke peringkat seterusnya selepas menundukkan pemain bukan pilihan dari Kanada, Catherine Choi 21-14, 21-13 di pusingan keempat dalam tempoh 24 minit.

Pemain pilihan keempat itu bagaimanapun berdepan cabaran getir apabila dijadualkan berdepan wakil tuan rumah, Choirunnisa pada pusingan kelima esok.

Jelas Jin Wei, meskipun kedudukan pilihan Choirunnisa terlalu jauh dengannya, namun dia tetap berwaspada dengan pemain tersebut yang akan menyerap semangat tuan rumah pada pertemuan sulung di antara mereka.

“Saya perlu berhati-hati esok. Bagi saya peluang untuk saya ke suku akhir 50-50 kerana dia akan bermain di depan penyokong sendiri. Sudah tentu dia akan bermain dengan penuh semangat.

“Apa pun saya tidak akan pandang rendah terhadap kemampuannya biarpun dia pilihan ke-16 kejohanan. Saya akan cuba yang terbaik untuk menang,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 17 tahun itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Meskipun pernah mencipta kejutan muncul juara remaja dunia dua tahun lalu, Jin Wei bagaimanapun gagal mempertahankan gelaran itu pada edisi 2016 di Sepanyol sekali gus menjadikannya sebagai iktibar.

Wakil negara yang turut merebut tempat ke suku akhir esok adalah Chang Yee Jun-Pearly Tan Koong Le, Man Wei Chong-Tan Sueh Jeou dan Ng Eng Cheong-Toh Ee Wei (beregu campuran); Eoon Qi Xuan (perseorangan perempuan); Leuong Jun Hao (perseorangan lelaki); Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei (beregu perempuan); Kwek Yee Jian-Man Wei Chong dan Chia Wei Jie-Tee Kai Wun (beregu lelaki).