Jin Wei yang turun ke gelanggang dengan impian untuk kembali menjadi juara dalam kejohanan terakhirnya di peringkat belia mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat selepas menewaskan Zecily Fung dari Australia 21-5, 21-6 dalam tempoh 17 minit.

Pemain berusia 18 tahun itu akan menentang wakil tuan rumah Wendy Zhang dalam pertemuan sulung bagi merebut tempat dalam suku akhir.

Sementara itu, satu-satunya pemain profesional terpilih mewakili negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Park Hyeon-Seung dari Korea Selatan 19-21, 21-17, 21-18 dalam pusingan ketiga perseorangan lelaki.

Aidil yang bakal menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula bulan depan akan berdepan Riku Hatano dari Jepun untuk merebut tiket ke suku akhir.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara yang akan merebut tepat ke suku akhir adalah Ng Tze Yong, dan dia bakal berdepan pemain Indonesia, Ikhsan Leornardo Emanuel Rumbay.

Selain itu, seorang lagi pemain perseorangan perempuan Eoon Qi Xuan, beregu wanita Pearly Tan-Toh Ee Wei dan beregu campuran Chia Wei Jie-Ee Wei turut mara ke pusingan keempat. - UTUSAN ONLINE