Turun sebagai pilihan ketiga, Jin Wei, 18, bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk mengejutkan pilihan pertama dari Thailand, Phittayaporn Chaiwan 19-21, 21-15, 21-13 dalam separuh akhir di Technopolis.

Halangan terakhir Jin Wei untuk pulang bersama pingat emas adalah pilihan kedua dari China, Wang Zhiyi yang tidak menghadapi masalah untuk melayakkan diri ke final selepas mengalahkan Jaslyn Hooi dari Singapura 21-11, 21-10.

Jin Wei, juara remaja dunia 2015 yang diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan menjadi sandaran utama Malaysia untuk memenuhi sasaran satu emas yang diletakkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Perlawanan akhir akan berlangsung awal pagi esok. - UTUSAN ONLINE