Ketua Kontinjen Sukan SEA 2017 Malaysia, Datuk Marina Chin mengakui, bekas juara remaja dunia itu mengalami kecederaan namun tidak begitu serius dan boleh beraksi dalam temasya dwitahunan itu.

“Dia memang mengalami kecederaan tetapi ia tidak serius dan akan pulih sebelum Sukan SEA berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Jin Wei yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Singapura 2015 mengalami kecederaan itu semasa beraksi pada separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jakarta, Isnin lalu.

Ketika beraksi menentang Gregoria Mariska, dia melakukan jumping smash sebelum gagal melakukan pendaratan sempurna yang menjadi punca kepada kecederaan tersebut.

Pada awal tahun ini, pemain berusia 17 tahun itu terpaksa berehat selama dua bulan akibat keretakan tulang kaki, selain menarik diri daripada beberapa kejohanan utama termasuk Siri Super Premier All England dan Grand Prix Emas Terbuka Switzerland.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berkata, Jin Wei sudah menjalani dua pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) semalam dan kecederaannya disahkan tidak serius.

Katanya, selepas menjalani proses pemulihan dalam tempoh seminggu, pemain itu akan kembali seperti sedia kala.

“Buat masa sekarang tiada perubahan akan dilakukan dalam skuad Sukan SEA dan semua mengikut keadaan semasa. Jin Wei akan beraksi seperti dirancang.

“Bagaimanapun, kita akan tengok dalam tempoh tiga minggu lagi sekiranya ada perubahan,” kata Frost yang turut mengesahkan bahawa Jin Wei tidak akan beraksi dalam Grand Prix Emas Terbuka New Zealand, minggu hadapan.